infokaki

AHMAD NISFU dilahirkan di Medan pada tahun 1902 dengan nama Mohamed bin Nisfu. Ahmad Nisfu merupakan anak sulung daripada empat adik beradik. Beliau kemudiannya berpindah bersama-sama keluarganya ke Pulau Pinang ketika masih kecil. Ahmad Nisfu menetap dan membesar di Kampung Makam, Pulau Pinang.

Ahmad Nisfu terdedah dengan dunia pentas bangsawan sejak kecil lagi. Bapanya merupakan tokoh utama dalam Wayang Kassim, sebuah kumpulan wayang bangsawan di Pulau Pinang. Semasa di Pulau Pinang, Ahmad Nisfu mendapat pendidikan agama di madrasah. Beliau hanya boleh membaca dan menulis dalam tulisan Jawi. Semasa di Pulau Pinang juga, Ahmad Nisfu mula berlakon bersama Grand Opera pada tahun 1912. Mereka sering mengadakan persembahan di utara semenanjung Tanah Melayu. Dari situlah Ahmad Nisfu mengasah bakat lakonannya sedikit demi sedikit. Beliau kemudiannya menyertai Star Opera yang beroperasi di Perak bersama-sama bapanya.

Ketika berusia 18 tahun, beliau telah berhijrah ke Singapura pada tahun 1920 dengan mengikuti kumpulan Indera Bangsawan yang dimiliki oleh Siti Hawa yang sangat terkenal dengan panggilan Seri Panggung Mak Lebai. Semasa berada di Singapura, Ahmad Nisfu bertambah aktif dalam dunia lakonan di pentas-pentas bangsawan sehingga namanya menjulang naik.

Pada tahun 1950-an, ramai tokoh-tokoh bangsawan telah beralih angin untuk menceburkan diri dalam dunia perfileman termasuklah Ahmad Nisfu.

Filem pertama yang dilakonkan oleh Ahmad Nisfu ialah 𝘈𝘯𝘢𝘬 𝘗𝘰𝘯𝘵𝘪𝘢𝘯𝘢𝘬 (1958) arahan Ramon A. Estella, diikuti dengan filem 𝘎𝘦𝘳𝘨𝘢𝘴𝘪 (1958) yang diarahkan oleh Dhiresh Gosh. Kedua-dua filem ini telah diterbitkan oleh Malay Film Productions (MFP) yang dimiliki oleh Shaw Brothers.

Nama Ahmad Nisfu semakin menjulang tinggi apabila P. Ramlee mengambilnya berlakon di dalam 𝘗𝘦𝘯𝘥𝘦𝘬𝘢𝘳 𝘉𝘶𝘫𝘢𝘯𝘨 𝘓𝘢𝘱𝘰𝘬 pada tahun 1959. Beliau berjaya menghidupkan watak tauke sampan dan kepala samseng di dalam filem itu walaupun ia bercorak komedi. Hal ini tidak menjadi masalah kepada Ahmad Nisfu kerana pengalamannya berlawak semasa di pentas bangsawan dahulu sangat luas.

Ahmad Nisfu sering diberi watak penting di dalam filem-filem arahan P. Ramlee di MFP. Lakonan beliau dalam filem-filem arahan P. Ramlee sangat menyerlah dan masih meninggalkan kesan yang mendalam kepada penonton, hingga ke hari ini.

Filem-filem yang dilakonkan oleh Ahmad Nisfu di bawah arahan P. Ramlee ialah 𝘔𝘶𝘴𝘢𝘯𝘨 𝘉𝘦𝘳𝘫𝘢𝘯𝘨𝘨𝘶𝘵 (1959), 𝘕𝘶𝘫𝘶𝘮 𝘗𝘢’ 𝘉𝘭𝘢𝘭𝘢𝘯𝘨 (1959), 𝘈𝘯𝘵𝘢𝘳𝘢 𝘋𝘶𝘢 𝘋𝘢𝘳𝘫𝘢𝘵 (1960), 𝘚𝘦𝘯𝘪𝘮𝘢𝘯 𝘉𝘶𝘫𝘢𝘯𝘨 𝘓𝘢𝘱𝘰𝘬 (1961), 𝘐𝘣𝘶 𝘔𝘦𝘳𝘵𝘶𝘢 𝘒𝘶 (1962), 𝘕𝘢𝘴𝘪𝘣 𝘚𝘪 𝘓𝘢𝘣𝘶 𝘓𝘢𝘣𝘪 (1963), 𝘔𝘢𝘥𝘶 𝘛𝘪𝘨𝘢 (1964) dan
3 𝘈𝘣𝘥𝘶𝘭 (1964).

Dalam satu kenyataan, P. Ramlee pernah mengatakan bahawa pelakon-pelakon yang dikaguminya ialah bintang Hollywood Stewart Granger, Marlon Brando, dan seniman tanahair iaitu Ahmad Nisfu. P. Ramlee sering memanggil Ahmad Nisfu dengan gelaran 𝘗𝘢𝘬 𝘉𝘦𝘴𝘢𝘳 kerana lubang hidungnya sangat besar. Hubungan mereka juga boleh dikatakan sangat erat seperti bapa dan anak.

Filem-filem lain yang dilakonkan oleh Ahmad Nisfu di MFP ialah 𝘋𝘰𝘤𝘵𝘰𝘳 (1958), 𝘚𝘢𝘶𝘥𝘢𝘨𝘢𝘳 𝘔𝘪𝘯𝘺𝘢𝘬 𝘜𝘳𝘢𝘵 (1959), 𝘚𝘪𝘵𝘪 𝘔𝘶𝘴𝘭𝘪𝘩𝘢𝘵 (1962), 𝘎𝘦𝘳𝘩𝘢𝘯𝘢 (1962), 𝘒𝘰𝘳𝘣𝘢𝘯 (1963), 𝘗𝘪𝘭𝘦𝘩 𝘔𝘦𝘯𝘢𝘯𝘵𝘶 (1963), 𝘚𝘪𝘢𝘱𝘢 𝘉𝘦𝘴𝘢𝘳! (1964), 𝘗𝘶𝘴𝘢𝘬𝘢 𝘗𝘰𝘯𝘵𝘪𝘢𝘯𝘢𝘬 (1965), 𝘚𝘢𝘺𝘢𝘯𝘨 𝘚𝘪 𝘉𝘶𝘵𝘢 (1965), 𝘋𝘢𝘺𝘢𝘯𝘨 𝘚𝘦𝘯𝘢𝘯𝘥𝘰𝘯𝘨 (1965), 𝘚𝘳𝘪 𝘈𝘯𝘥𝘢𝘭𝘢𝘴 (1966), 𝘓𝘢𝘮𝘱𝘰𝘯𝘨 𝘒𝘢𝘳𝘢𝘮 (1967) 𝘥𝘢𝘯
𝘈 𝘎𝘰 𝘎𝘰 67 (1967).

Suatu perkara yang menarik mengenai Ahmad Nisfu, beliau tidak terikat dengan mana-mana studio. Beliau lebih selesa menjadi pelakon bebas. Oleh sebab itu kita dapat melihat beliau juga turut berlakon di dalam filem-filem yang diterbitkan oleh Cathay-Keris Film (CKF) seperti 𝘋𝘢𝘯𝘨 𝘈𝘯𝘰𝘮 (1962), 𝘛𝘶𝘯 𝘍𝘢𝘵𝘪𝘮𝘢𝘩 (1962), 𝘑𝘶𝘭𝘢 𝘑𝘶𝘭𝘪 𝘉𝘪𝘯𝘵𝘢𝘯𝘨 𝘛𝘶𝘫𝘰𝘩 (1962), 𝘓𝘢𝘪𝘭𝘢 𝘔𝘢𝘫𝘯𝘶𝘯 (1962), 𝘓𝘢𝘯𝘤𝘩𝘢𝘯𝘨 𝘒𝘶𝘯𝘪𝘯𝘨 (1962), 𝘋𝘢𝘳𝘢𝘩-𝘒𝘶 (1963), 𝘉𝘢𝘺𝘢𝘯𝘨𝘢𝘯 𝘋𝘪-𝘞𝘢𝘬𝘵𝘶 𝘍𝘢𝘫𝘢𝘳 (1963), 𝘉𝘶𝘯𝘨𝘢 𝘛𝘢𝘯𝘫𝘰𝘯𝘨 (1963), 𝘛𝘢𝘫𝘶𝘭 𝘈𝘴𝘩𝘪𝘬𝘪𝘯 (1963), 𝘗𝘰𝘯𝘵𝘪𝘢𝘯𝘢𝘬 𝘒𝘦𝘮𝘣𝘢𝘭𝘪 (1963), 𝘈𝘺𝘦𝘳 𝘔𝘢𝘵𝘢 𝘋𝘶𝘺𝘰𝘯𝘨 (1964), 𝘞𝘢𝘯 𝘗𝘦𝘳𝘬𝘢𝘴𝘢 (1964), 𝘐𝘴𝘵𝘢𝘯𝘢 𝘉𝘦𝘳𝘥𝘢𝘳𝘢𝘩 (1965), 𝘋𝘶𝘢 𝘒𝘢𝘭𝘪 𝘓𝘪𝘮𝘢 (1966), 𝘗𝘭𝘢𝘺𝘣𝘰𝘺 (1967), 𝘔𝘢𝘵 𝘙𝘢𝘫𝘢 𝘒𝘢𝘱𝘰𝘳 (1967), 𝘚𝘪-𝘔𝘶𝘳𝘢𝘪 (1968), 𝘕𝘢𝘧𝘴𝘶 𝘉𝘦𝘭𝘪𝘢 (1969), 𝘗𝘶𝘢𝘬𝘢 (1970), 𝘓𝘰𝘣𝘢𝘯𝘨 𝘕𝘶𝘳𝘢𝘬𝘢 (1970), 𝘔𝘢𝘵 𝘒𝘢𝘳𝘶𝘯𝘨 𝘎𝘶𝘯𝘪 (1970) dan yang terakhir 𝘑𝘢𝘩𝘢𝘯𝘢𝘮 (1971).

Di luar bidang lakonan, Ahmad Nisfu pernah menjadi seorang bilal di Masjid Khalid, Joo Chiat Road, Singapura. Beliau seringkali memberi tazkirah serta nasihat agama kepada orang awam di masjid. Beliau juga sering membaca al-Quran di masjid ketika tiada penggambaran filem. Jikalau beliau dikehendaki untuk menjalani penggambaran, sebuah kereta milik studio akan datang menjemputnya di rumah.

Ahmad Nisfu meninggal dunia ketika berusia 70 tahun pada 25 Jun 1972, sekitar jam 9:00 pagi akibat penyakit kencing berdarah di rumah anak lelakinya di Kampung Kuchai, Lorong 3, Geylang. Beliau meninggalkan seorang balu yang bernama Chik binti Osman, tiga orang anak dan 14 orang cucu. Menurut anaknya lagi, Ahmad Nisfu dikelilingi ahli keluarganya semasa meninggal dunia. Ramai rakan-rakan seniman dan seniwati dari studio MFP dan CKF melawat jenazahnya untuk memberi penghormatan terakhir. Jenazah beliau disemadikan di Tanah Perkuburan Bidadari, dan kemudiannya telah dipindahkan ke Tanah Perkuburan Lim Chu Kang oleh kerajaan Singapura.

Pada awal tahun 1970-an, Ahmad Nisfu berhajat untuk menulis riwayat hidupnya serta pengalaman beliau sepanjang melibatkan diri di dalam seni lakonan bermula daripada pentas bangsawan sehinggalah ke layar perak. Menurutnya, adalah penting bagi seseorang yang terlibat dalam dunia seni itu menulis segala pengalaman serta pahit getir semasa bergelar seniman untuk tatapan keluarga dan para peminat.

Malangnya, hajat beliau untuk menulis dan membukukan riwayat hidupnya itu tidak kesampaian kerana ajal telah menjemputnya terlebih dahulu. Segala pengalaman, pahit getir serta kenangan manis semasa hidupnya dibawa bersama ke alam barzakh.

Hari ini genap 49 tahun pemergian Allahyarham Ahmad Nisfu.

Teks: DAN

Sumber:
1. Berita Harian
2. P. Ramlee Erti Yang Sakti
3. Filem Melayu Citra Budaya dan Rakaman Sejarah
4. The Patriots